Wednesday, June 3, 2009

Polis Johor kenal pasti dalang along

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengenal pasti beberapa individu menjadi dalang ceti haram atau along di negeri ini yang kebanyakannya terbabit dengan kegiatan jenayah lain termasuk pengedaran dadah dan pelacuran. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya memberi jaminan lebih ramai dalang terbabit akan diheret ke muka pengadilan selepas siasatan berhubung kekasaran dan keganasan dilakukan mereka terhadap peminjam selesai. “Polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang berperanan sebagai dalang utama kepada kegiatan peminjam wang haram secara sistematik di negeri ini.

"Mereka terbabit turut mempunyai pertalian dengan kegiatan yang melanggar undang-undang seperti pelacuran, dadah, nombor ekor dan jenayah. "Oleh itu, polis akan bertindak secara lebih agresif dan berterusan bagi membendung kegiatan mereka daripada terus berkembang, dan pada masa sama membawa perancang utama kegiatan terbabit ke muka pengadilan," katanya pada sidang media selepas mengadakan operasi pembersihan iklan ceti haram di sekitar bandar raya ini bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, semalam. Turut menyertai operasi lebih dua jam itu ialah Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Naim Nasir bersama 54 anggota penguat kuasa MBJB dan 77 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Operasi itu dilakukan bagi menurunkan iklan ceti haram serentak di seluruh negeri, secara bersepadu antara polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).